Thursday, September 16, 2010

Pelancongan di Negeri Perak

Kellie's Castle

 
Pada asalnya mahligai ini dibina sebagai rumah kediaman untuk William Kellie Smith seorang peladang dari Scotland pada kurun ke-20.
Memandangkan beliau berada jauh dari tanah airnya, beliau menginginkan sebuah rumah yang boleh mengingatkannya kepada tanah airnya. Mahligai ini terletak di atas sebuah bukit yang dahulunya merupakan kawasan ladang getah.
William Kellie Smith adalah seorang lelaki yang menarik dan sangat popular di kalangan pekerjanya dari India Selatan. Beliau seorang yang baik hati kerana mendirikan sebuah kuil Hindu untuk pekerjanya di perkarangan kawasan mahligai tersebut.
Para pekerjanya telah mendirikan sebuah arca yang menyerupai Kellie yang lengkap berbaju sut dan topi sebagai tanda terima kasih mereka.
Pembinaan mahligai yang unik ini bermula pada tahun 1915. Walau bagaimana pun, kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan apabila Kellie mati secara tiba-tiba pada tahun 1926. Kini, mahligai yang tidak siap ini kelihatan aneh dikelilingi ladang yang sunyi dan mempunyai aura misteri.
Baru-baru ini beberapa usaha telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menyelamatkan mahligai yang indah ini dari tumbuhan liar yang semakin banyak menyelubunginya. Mahligai ini dipercayai berhantu dan mempunyai bilik rahsia serta terowong bawah tanah yang tersembunyi.
Jalan menuju ke mahligai berbelok-belok dan agak membingungkan lantas meningkatkan lagi suasana misteri tempat ini.
Tips
Oleh kerana mahligai ini terletak di sebuah kawasan yang sunyi, rancang lawatan supaya anda dapat kembali sebelum matahari terbenam.

Taman Perlindungan Burung Kuala Gula
Hutan Paya Bakau Matang merupakan eko-sistem hutan paya bakau yang paling besar di Semenanjung Malaysia. Hutan ini meliputi kawasan sepanjang 50 km bahagian pantai barat di utara negeri Perak dan 40 km lagi di sepanjang pinggiran sistem sungai-sungai di dalam lima kawasan muara yang terlindung.
Sewaktu musim penghijrahan burung antara bulan Ogos dan April setiap tahun, terdapat lebih dari 200,000 ekor burung dari kira-kira 50 spesis dijangka singgah di sini.
Pusat maklumat pelawat yang lengkap disediakan di sini bagi membolehkan pelawat memahami kepentingan memelihara dan menjaga ekosistem hutan paya bakau dan burung-burung yang tinggal atau pun yang singgah di sini menerusi program pembelajaran dan bahan pameran yang disediakan.
Taman Perlindungan Burung Kuala Gula pernah memenangi anugerah 'Tarikan Pelancong Terbaik (Tarikan Semulajadi) sewaktu majlis Anugerah Pelancongan Malaysia - sebuah majlis gemilang yang menyampaikan anugerah-anugerah kepada agensi dan pertubuhan yang menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Malaysia.
Tips
Masa terbaik untuk memerhati burung di sini ialah dari bulan September hingga Mac.

Pelancongan di Kedah

Langkawi adalah gugusan 99 buah pulau yang terletak di luar pesisiran pantai Kedah. Ia sebuah pulau legenda yang penuh misteri, selain pusat pelancongan bertaraf antarabangsa dunia. Tanyalah sesiapa saja di pulau ini, tentang kisah seorang wanita cantik bernama Mahsuri. Anda akan mendengar kisah cinta, cemburu, dan sumpah yang diletakkan ke atas pulau ini selama tujuh keturunan.
Nikmati keindahan alam semulajadi serta ketenangan landskap padi di sini dengan memandu di seluruh pulau ini.
Anda juga boleh melawat Padang Beras Terbakar, Telaga Air Panas, Telaga Tujuh, dan Pantai Pasir Hitam. Terdapat juga lawatan menggunakan bot ke Tasik Dayang Bunting, Gua Cerita dan Gua Langsir.
Anda juga boleh melawat Padang Beras Terbakar, Telaga Air Panas, Telaga Tujuh, dan Pantai Pasir Hitam. Terdapat juga lawatan menggunakan bot ke Tasik Dayang Bunting, Gua Cerita dan Gua Langsir.
Jika anda seorang yang gemar cabaran yang lasak, anda boleh juga menjelajah kawasan hutan di Langkawi, menaiki bot mengelilingi kawasan paya bakau, menyelam, atau bermain golf di pusat peranginan bertaraf lima bintang di pulau ini.
Langkawi menawarkan peluang dan kemudahan membeli-belah yang hebat.

Tugu Lang di Dataran Helang berhampiran jeti Kuah.
Pengangkutan
Feri
Perkhidmatan feri bertolak dari pelabuhan Kuala Kedah setiap satu jam mulai pukul 7.00 pagi hingga pukul 6.00 petang. Perjalanan ini memakan masa 1 1/2 jam. Terdapat juga perkhidmatan feri dari pelabuhan Kuala Perlis dan pelabuhan Satun di Thailand. Kedua-dua perjalanan feri ini memakan masa hanya 45 minit ke Langkawi.

Penerbangan
Kedua-dua syarikat penerbangan, MAS dan Air Asia menyediakan penerbangan terus dua kali sehari dari Kuala Lumpur ke Langkawi yang mendarat di Lapangan Terbang Langkawi.



Muzium Padi

Terletak di Gunung Keriang, muzium ini menunjukkan perkembangan penanaman padi menggunakan peralatan tradisional sehingga ke peralatan moden.
Ini adalah muzium padi pertama di Malaysia, dan yang keempat dibuka di dunia setelah Jepun, Jerman dan Filipina.
Bangunan ini mempunyai senibina yang unik dengan gambaran seperti padi yang telah dituai. Motif padi turut digunakan di seluruh bangunan muzium ini, di tangga, pintu masuk muzium dan pagar mengelilingi kawasan ini.
Muzium ini menunjukkan proses penanaman padi di Malaysia, dan pelbagai peralatan yang digunakan sejak bertahun lamanya. Terdapat juga mural padi, yang dihasilkan oleh 60 pelukis dari Korea Utara, menunjukkan sejarah penanaman padi di Malaysia.
Muzium Padi ini kini menjadi tarikan utama pelancongan di Kedah, yang turut dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia. Ia mengambarkan sejarah, cara hidup dan keunikan musim penanaman padi di Kedah Darul Aman.
Pembinaan Muzium Padi ini sebagai menghormati aktiviti penanaman padi yang menyumbang kepada sejarah dan sosio ekonomi penduduk di Kedah khasnya dan Malaysia amnya.
Tips
Waktu Operasi : 9:00 pagi - 5:00 petang (setiap hari) Bayaran Masuk : RM3.00 (Dewasa) RM1.00 (Kanak-kanak) RM2.00 (kamera).
Pengangkutan
Kereta
Melalui laluan lebuh raya Utara Selatan (PLUS) dan keluar di Alor Star Utara dan ikut papan tanda ke Muzium Padi.

Pelancongan di Negeri Sembilan

Port Dickson terkenal kerana adanya pantai yang panjang dan indah dari Janakuasa Elektrik Tuanku Jaafar hingga ke Pasir Panjang. Pantai Teluk Kemang yang cantik ialah di Batu 8 dan Batu 7.
Pantainya landai, bersih, pasir putih halus dan dilengkapi dengan kedai makanan, bilik mandi dan tandas serta pondok-pondok rehat.




Istana Seri Menanti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah istana yang dirujuk lazimnya dalam konteks ini adalah sebuah binaan/bangunan lama yang masih utuh, lagi diperbuat daripada kayu yang menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900-an. Kini, memandangkan ia suatu warisan sejarah, istana itu telah berubah "peranannya" menjadi muzium. Bangunan ini didirikan mengikut senibina masyarakat Minangkabau.
Istana Lama Seri Menanti ialah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.
Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Jabatan Kerja Raya, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.
Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. [1]. Pasak kayu keras digunakan bagi menyambungkan papan. Atap istana ini mewakili tanduk kerbau. Tanduk kerbau dianggap sebagai lambang keamanan.
Istana ini telah digunakan untuk upacara mengadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara tersebut.
Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga pada tahun 1992. Atas kesedaran DYMM Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium Diraja ialah di bawah pentadbiran Lembaga Muzium Negeri, Negeri Sembilan.
Mulai saat inilah Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana.