Friday, September 17, 2010

Sukan

Sejarah kecemerlangan Malaysia di Olimpik

MELBOURNE 1956
Pasukan hoki pertama kali menyertai sukan Olimpik serta atlet olahraga, renang, angkat berat dan menembak. Pasukan hoki negara beraksi cemerlang pada peringkat kelayakan, tewas sekali tetapi hanya menamatkan kejohanan di tempat kesembilan dari 12 pasukan.












TOKYO 1964
Datuk Dr. M. Jegathesan (gambar) menjadi atlet Malaysia yang pertama layak ke pusingan separuh akhir acara 200 meter. Dalam saringan kelima di pusingan pertama, dia mencatat masa 20.92 saat dan masih merupakan rekod Malaysia sehingga kini.

MUNICH 1972
Buat pertama kali dalam sejarah pasukan bola sepak Malaysia yang dibarisi oleh M. Chandran, Soh Chin Aun, Wong Kam Fook, Shaharuddin Abdullah, Wong Choon Wah, Namat Abdullah, Lim Fung Kee, Ali Bakar, pasukan bola sepak kebangsaan layak ke Sukan Olimpik buat kali kedua di Moscow 1980, tetapi tidak mengambil bahagian kerana Malaysia memulau sukan tersebut.

BARCELONA 1992
Adik-beradik Sidek, Razif dan Jalani mencipta sejarah menjadi pemenang pingat Olimpik pertama selepas memenangi pingat gangsa.

ATLANTA 1996
Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock memastikan pingat gangsa untuk negara selepas mara ke perlawanan separuh akhir acara badminton.

SYDNEY 2000
Lee Wan Yuen menjadi atlet taekwondo pertama negara layak di sukan Olimpik apabila ia pertama kali diperkenalkan di Sydney tetapi tewas kepada atlet Perancis, Myriam Baverel 4-8 di pusingan pertama kategori 67 kilogram wanita.


ATHENS 2004
Lim Keng Liat menjadi perenang pertama negara mara ke peringkat separuh akhir dengan mencatat masa kelapan terpantas 55.22 saat dalam acara kuak lentang lelaki. Pelumba basikal acara trek Josiah Ng turut layak ke akhir tetapi menduduki tempat kelima.

CHINA 2008
Dato' Lee Chong Wei menjadi pemain badminton pertama negara mara ke peringkat terakhir dengan menandingi pemain badminton China Ling Dan. Dato' Lee Chong Wei berjaya mendapat naib johan dalam acara ini.

OLIMPIK 2012
Siapakah yang bakal mengharumkan nama negara Malaysia di pentas antarabangsa?

Kecemerlangan Institusi Pendidkan

 
Sejak merdeka, sistem pendidikan negara telah berkembang pesat dan pelbagai pembaharuan telah diperkenalkan. Pembaharuan ini berjaya menghasilkan sejumlah sekolah, kolej matrikulasi dan maktab perguruan yang cemerlang dan mampu melahirkan modal insan yang diperlukan negara.

Pendekatan ‘satu saiz untuk semua’ tidak lagi sesuai kerana ia mungkin akan menyebabkan institusi yang cemerlang ini sukar untuk melestarikan kecemerlangan. Pada waktu yang sama, adalah tidak adil untuk mengharapkan perubahan daripada institusi pendidikan yang masih belum bersedia dan bergelut dengan isu kekurangan kemudahan asas. Pendekatan yang lebih khusus penting, bagi memastikan kepelbagaian pendidikan untuk memenuhi minat dan potensi, kecenderungan dan kebolehan pelajar di pelbagai jenis sekolah.


Pada masa ini terdapat pelbagai pilihan jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara. Pada peringkat rendah, terdapat SK, SJKC dan SJKT. Pada peringkat menengah pula, terdapat SBP, SMT, SMKA, Sekolah Model Khas dan SMK Harian.
Dalam kalangan sekolah-sekolah ini pula terdapat sekolah yang dikategorikan sebagai Sekolah Premier, sekolah yang mempunyai tradisi yang panjang seperti sekolah yang berusia 100 tahun atau lebih dan sekolah-sekolah di dalam persekitaran yang strategik serta mempunyai infrastruktur yang baik seperti sekolah-sekolah di dalam kejiranan Putrajaya dan Cyberjaya. Di samping sekolah-sekolah ini, KPM juga mengadakan sekolah khusus untuk pendidikan khas pada peringkat rendah dan menengah termasuk SMPKV. Selain sekolah KPM, terdapat juga sekolah yang dikendalikan oleh agensi lain seperti Maktab Rendah Sains Mara, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

~dipetik daripada http://www.moe.gov.my/galeri_awam_manual/pipp2010/moe_pipp_09.pdf

Dasar Perindustrian Negara

Latarbelakang 

Di dalam dekad 50-an dan 60-an, program perindustrian di negara ini dijalankan sebagai usaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara yang pada masa itu amat bergantung kepada getah dan bijih timah. Memandangkan harga kedua-dua komoditi ini tidak stabil, kerajaan telah melancarkan program perindustrian untuk mencetuskan perkembangan ekonomi yang lebih pesat dan stabil. Dasar pembangunan perindustrian pada masa itu adalah tertumpu kepada industri-industri yang bercorak gantian import.
Sejak tahun 70-an, kerajaan di samping mempelbagaikan ekonomi telah menitikberatkan pertumbuhan industri yang lebih pesat untuk menampung keperluan pekerjaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam hal ini, tumpuan telah diberikan kepada industri-industri yang berasaskan eksport dan industri yang mengunakan ramai buruh.
Mulai tahun 80-an pula, program perindustrian negara mengalami satu lagi perkembangan meneeusi penggalakan industri berat. Ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi asas perindustrian negara dan menambahkan kemahiran rakyat di bidang teknologi yang lebih tinggi. Ia juga bertujuan untuk mempercepatkan lagi proses perindustrian. Kerajaan memainkan peranan secara langsung di dalam merancang, melaksana, membiayai dan mengurus industri-industri berat memandangkan sektor swasta tidak mampu menanggung perbelanjaan atau menghadapi risiko dalam mengendalikan projek-projek yang bukan sahaja melibatkan modal yang besar, tetapi juga hanya dapat memberi pulangan dalam tempoh masa yang panjang.
Walaupun pada keseluruhannya perkembangan industri negara dalam tahun-tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an adalah memuaskan tetapi banyak masalah dan kelemahan masih wujud di dalam sektor ini. Misalnya, pertumbuhan sektor eksport adalah tidak begitu memuaskan jika dibandingkan dengan sektor dalam negeri. Eksport barang-barang pembuatan Malaysia terlalu bergantung kepada segelintir industri sahaja seperti elektrik dan elektronik dan tekstil. Mutu keluaran juga pada keseluruhannya tidak begitu memuaskan dan tidak dapat bersaing dengan keluaran negara-negara asing. Ini disebabkan tahap teknologi yang masih rendah dan kurangnya kemahiran rakyat tempatan untuk mempertingkatkan atau memperbaharui teknologi yang diterima dari luar. Satu masalah besar ialah kurangnya hubungkait di antara sektor perindustrian dengan sektor-sekctor lain menyebabkan tidak wujudnya integrasi ke hadapan dan ke belakang (back-ward and forward integration.) Industri-industri yang ditubuhkan juga kurang mempunyai nilai ditambah (value added) kerana banyak menumpukan kepada aktiviti pemasangan sahaja. Oleh itu, sekiranya sektor perindustrian dikehendaki terus memainkan peranan utama dalam pembangunan negara, perlulah diwujudkan matlamat-matlamat jangka panjang yang disokong dengan dasar dan strategi pembangunan yang baru.
Selaras dengan hasrat untuk mengenalpasti kelemahan ciri-ciri struktur serta mengatasinya, kerajaan telah melancarkan dua kajian utama pada tahun 1983, iaitu Kajian Dasar Perindustrian Malaysia (KDPM) dan Pelan Induk Perindustrian (PIP). KDPM benujuan untuk menyemak dan mengubahsuai dasar-dasar perindustrian negara yang sedia ada dan mengkaji semula galakan-galakan pelaburan dan dasar-dasar peningkatan eksport. PIP pula bertujuan untuk menggubal objektif pembangunan perindustrian secara am dalam mengenalpasti strategi-strategi untuk sektor-sektor kecil yang berpotensi untuk tumbuh dengan pesat. Dasar utama perindustrian telah mengambil kira beberapa prinsip asas yang terkandung di dalam perakuan-perakuan kedua-dua kajian ini.
 
Rasional
Penggubalan dasar perindustrian negara melambangkan keazaman kerajaan untuk mempergiatkan lagi proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan ekonomi negara. Kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1985-1986 telah menunjukkan kelemahan dalam struktur industri negara. Pengalaman dalam dekad 80-an di mana semua harga komoditi utama telah jatuh secara serentak mendorong kerajaan memikirkan strategi-strategi ekonomi jangka panjang untuk mengenalpasti dan mengatasi kelemahan-kelemahan struktur sektor pembuatan ini. Seandainya masalah-masalah ini dapat diatasi, kerajaan yakin sektor ini boleh memainkan peranan yang lebih dinamik lagi melalui sumbangan-sumbangan yang lebih besar dari segi menambah eksport, mengadakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan serta memperbanyakkan peluang-peluang latihan teknikal dan kemahiran.
Pada jangka panjangnya, PIP diharapkan dapat meletakkan asas yang kukuh bagi negara ini menjadi sebuah negara perindustrian yang maju. Jelas di negara-negara perindustrian yang ada sekarang, sektor perkilangan (selain daripada sektor perkhidmatan) merupakan sektor yang terpenting dalam menggerakkan jentera pembangunan negara. Banyak negara maju dan negara perindustrian dahulunya merupakan negara-negara pertanian yang mundur, tetapi oleh kerana mereka memasuki bidang perindustrian dengan bersungguh-sungguh, hari ini mereka telah maju.
Walaupun bidang pertanian di Malaysia merupakan satu kegiatan ekonomi yang penting namun demikian pertanian tidak mungkin dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi puluhan ribu lulusan sekolah dan institusi pengajian tinggi setiap tahun.

Objektif
Objektlf Pelan Induk Perindustrian (PIP)
Pelan Induk Perindustrian yang telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada 3 Februari, 1986 telah menggariskan tiga matlamat iaitu:
(a)  Menjadikan sektor perkilangan sebagai catalyst pertumbuhan 
       perindustrian negara;
(b)  Menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber asli negara; dan
(c)  Meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan (R & D) teknologi
       tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian

Strategi Pelaksanaan
Strategi Pelan Induk Perindustrian
Untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, PIP telah mengenalpasti 12 sektor industri yang patut diberi penekanan. Tujuh daripada sektor-sektor ini adalah yang berasaskan sumber tempatan iaitu industri yang berasaskan getah, kelapa sawit, kayu-kayan, makanan, kimia, logam bukan ferus dan keluaran-keluaran galian bukan logam. Lima sektor lagi merupakan industri yang bukan berasaskan sumber iaitu eletrik dan eletronik, peralatan pengangkutan, mesin dan kejuruteraan, logam-logam ferus, dan tekstil dan pakaian. Kesemua industri ini telah dipilih berasaskan kepada potensi untuk mencapai matlamat memperluaskan asas industri negara. PIP juga telah mencadangkan langkah-langkah berikut diambil supaya Malaysia dapat mencapai taraf sebuah negara perindustrian:
(a)  Melaksanakan dasar perindustrian yang berpandangan ke luar. Untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perindustrian yang tinggi, Malaysia harus menumpukan kepada pengeksportan keluaran-keluaran perkilangan secara besar-besaran. Masalah pasaran yang kecil telah menjadi satu faktor penghalang bagi industri-industri tempatan mencapai produktiviti yang lebih tinggi dan lebih kompetitif;

(b)  Memajukan secara intensif industri-industri berasaskan sumber untuk eksport dan mempelbagai serta meningkatkan industri bukan berasaskan sumber untuk eksport. Dari 12 sektor industri yang terpilih, beberapa keluaran/industri telah dikenalpasti sebagai keluaran/industri keutamaan untuk dimajukan;

(c)  Memajukan industri-industri berat terpilih untuk menyokong  industri-industri eksport. Strategi ini dipilih memandangkan kerajaan sudahpun membuat pelaburan yang banyak dalam beberapa jenis industri berat. Usaha-usaha perlu ditumpukan kepada memastikan kejayaan projek-projek itu dahulu sebelum menceburi bidang-bidang industri berat yang lain;

(d)  Memaju dan menggunakan sistem perkhidmatan maklumat yang 
  bersepadu;

(e)  Membangunkan teknologi dan tenaga rakyat;

(f)  Mengurangkan perbelanjaan dalam pembinaan infrastruktur dengan 
memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri-industri di kawasan yang telah sedia mempunyai kemudahan infrastruktur yang diperlukan. Penubuhan industri-industri diutamakan di sepanjang western corridor di pantai barat Semenanjung yang mempunyai hampir 75-80 peratus penduduk dan di mini corridor di pantai timur. Semenanjung, dengan tumpuan di kawasan sekitar Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan, dan di bandar-bandar di Sabah dan Sarawak seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Labuan, Kuching, Sibu dan Bintulu;

(g)  Memoden dan menyusun semula struktur perindustrian dengan 
mempertingkatkan pembangunan industri-industri kecil dan sederhana kerana sektor ini merupakan tulang belakang proses perindustrian seperti yang ternyata di negara Taiwan dan menyusun semula industri-industri yang kurang berkesan tetapi penting dalam ekonomi negara;

(h)  Memperkukuhkan institusi-institusi yang bertanggungjawab kepada 
pembangunan sektor pembuatan; dan

(i)  Menyusun semula sistem galakan perindustrian yang sedia ada 
untuk memupuk kecekapan dan daya bersaing yang lebih tinggi

Penutup
PIP merangkumi strategi-strategi dan langkah-langkah yang boleh membawa Malaysia ke dalam era sebuah negara perindustrian dan seterusnya menjadi teras kepada sebuah negara maju. Melaluinya, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih diterajui oleh pertumbuhan dalam sektor eksport yang berlandaskan strategi industrialisasi yang outward-looking. Sejauh mana ini akan mencapai hasil yang baik bergantung kepada keupayaan pekilang-pekilang di Malaysia mengekal, jika tidakpun meningkatkan lagi, daya saing di pasaran antarabansa yang penuh cabaran itu.

Dasar Perindustrian Berat Di Malaysia


Latarbelakang 
Sektor perindustrian memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negara setanding dengan sektor pertanian. Sumbangan sektor perindustrian dalam KDNK telah meningkat dari 13.4% pada tahun 1970 kepada 20.5% dalam tahun 1980 sementara sumbangan sektor pertanian menurun dari 30.8% kepada 22.2% dalam tempuh yang sama. Begitu juga dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan di mana peraturannya dalam sektor perindustrian telah bertambah dari 11.4% pada tahun 1970 kepada 15.8% pada tahun 1980 sedangkan di sektor pertanian peratusannya menurun dari 50.5% kepada 40.6%. Pertumbuhan sektor perindustrian dalam dekad tersebut ialah 12.5% setahun berbanding dengan hanya 4.3% bagi sektor pertanian.
Proses perindustrian telah melalui tahap-tahap yang diperlukan bermula dengan industri tradisional berasaskan pertanian sebelum tahun 1960an kepada industri gantian-import pada tahun 1960an dan seterusnya industri-industri intensif buruh dan eksport pada tahun-tahun 1970an. Langkah seterusnya yang paling wajar dalam proses perindustrian ini ialah dengan mengamalkan dasar industri berat iaitu perindustrian yang memerlukan modal yang besar, teknologi yang tinggi dan menggunakan tenaga pekerja mahir yang ramai.
 
Rasional
Industri berat mempunyai potensi jangka panjang dalam proses rancangan perindustrian negara kerana dasar ini adalah merupakan satu langkah ke arah satu ekonomi yang lebih kukuh dengan memperluas dan mengukuhkan asas dan struktur perkilangan agar ianya terus mampu menghadapi pertumbuhan dan kematangan.
Selama ini, Kerajaan adalah merupakan pelabur yang terbesar sementara sektor swasta kurang memainkan peranan dan pelaburannya adalah terlalu lembap. Sektor ini tidak dinamik di mana ia lebih bertindak balas kepada galakan dan perlindungan tanpa memberi perhatian kepada 'new areas' dan berbelanja untuk penyelidikan dan pembangunan. Pada masa-masa yang lepas sektor swasta lebih memandang ke dalam (inward-looking) dan polisi ditujukan ke arah itu iaitu gantian import dan galakan perlindungan tanpa memikirkan persaingan dalam pasaran dunia. Dasar perindustrian berat diharap dapat mengubah keadaan ini agar sektor swasta meningkatkan pelaburan mereka dan mengambil bahagian cergas dalam pembangunan ekonomi melalui program perindustrian berat yang lebih sophisticated yang akan mengwujudkan industri-industri sokongan dan berkemampuan untuk bersaingan dalam pasaran dunia.
Kebanyakan pelaburan sehingga hari ini, adalah 'assembly of packaging type'yang gagal memberi peluang untuk 'forward or backward linkages'. Akibatnya, walaupun proses perindustrian telah berlangsung selama 25 tahun, Malaysia masih belum mempunyai 'industrial elite' dan masyarakat perindustriannya sendiri. Malaysia perlu mempunyai kedua-dua ini jika mahu terus maju setanding dengan negara-negara perindustrian yang lain.
Objektif
Dasar Industri Berat dijangka akan mencapai objektif-objektif berikut:
(1)  Mengimport dan menyerap teknologi yang lebih sophisticated
untuk memajukan teknologinya sendiri. Dengan itu, perindustrian di Malaysia tidaklah hanya setakat memproses dan menghasilkan barang-barang pengguna yang mudah, tetapi sebaliknya dapat mengeluarkan bahan-bahan mentah serta jentera-jentera perindustrian dan barang-barang gantian import untuk keperluan negara secara kompetitif.

(2)  Mengelakkan pergantungan berterusan kepada barangan dan  teknologi asing. Dengan ini, negara boleh menyelamatkan tukaran wang asing dan seterusnya mengasaskan langkah berjaga-jaga ke atas ketidak-tentuan harga dan bekalan bahan-bahan keperluan strategik.

(3)  Mempelbagaikan dan memperkukuhkan eksport barangan Malaysia
untuk mengatasi dasar perlindungan yang ada di negara-negara maju terhadap barangan yang dihasilkan oleh perindustrian intensif buruh negara-negara membangun.

(4)  Industri berat dijangka dapat meningkatkan keupayaan
industri-industri kecil dan industri sokongan di samping mengwujudkan industri-industri pertengahan yang baru. Pengalaman di negara-negara lain menunjukkan bahawa pelaburan dan gunatenaga yang diwujudkan oleh industri-industri pertengahan, sokongan dan kecil ini adalah lebih besar dari yang ditimbulkan oleh industri-industri berat itu sendiri.

(5)  Mengwujudkan peluang untuk para pekerja dilatih dalam
bidang-bidang kejuruteraan dan kemahiran-kemahiran berkaitan.

Strategi Pelaksanaan
Industri berat memerlukan modal besar, teknologi yang tinggi dan sophisticated dan pekerja mahir. Selain dari Kerajaan, tidak ada pelabur-pelabur tempatan yang sanggup melabur modal dalam projek-projek yang sebegini besar. Pelabur-pelabur tempatan juga tidak mempunyai teknologi yang diperlukan. Dengan demikian, pelaburan dalam bidang ini terpaksa diusahakan oleh Kerajaan dan pelabur-pelabur asing.
Bagi tujuan ini, Kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Industri Berat Malaysia (HICOM) pada tahun 1980. Peranan HICOM adalah untuk mengenalpasti, memulakan, melaksanakan dan menguruskan projek-projek dalam bidang industri berat. Berikutan dari ini beberapa projek tajaan Kerajaan dengan usaha sama pelabur asing telah dilancarkan. Ini termasuk logi simen, besi panas dan pancang keluli, projek kereta nasional, logi enjin kecil, palpa dan kertas dan kompleks kejuruteraan.
Kesemua projek-projek ini adalah memerlukan bahan-bahan atau komponen-komponen tertentu dalam pengeluarnnya. Di sini timbullah peranan yang patut dimainkan oleh industri-industri sokongan dan kecil untuk membekalkan bahan-bahan tersebut. Dengan itu, perlaksanaan program industri berat mempunyai serampang dua mata; iaitu mengwujudkan projek industri berat itu sendiri dan meningkat keupayaan industri sokongan atau mengwujudkan industri-industri baru. Di sini pelabur-pelabur tempatan (swasta) haruslah memainkan peranan aktif bagi mengwujudkan 'secondary industries' yang berasaskan 'high-teknologi' dan berkeupayaan mempercepatkan pertumbuhan industri pertengahan dan sederhana. Dengan tidak secara langsung ianya akan mengwujudkan industri gantian import pusingan kedua dan 'resource-based industries' untuk eksport.
Oleh kerana industri berat memerlukan teknologi yang sophisticated dan kemahiran yang tinggi di mana ianya menjadi masalah di Malaysia, dasar ini memerlukan pengimportan kedua-dua sumber itu secara mengadakan usahasama dengan pelabur asing. Rakan perkongsian asing dimestikan menyediakan kerjasama dan bantuan dalam melatih pekerja, pengendalian dan pengurusan projek. Ini adalah bagi menentukan pemindahan teknologi berjalan dengan berkesan dan projek mencapai kejayaan.
Insentif berbentuk kredit, tariff atau subsidi patutlah diberi kepada projek-projek ini bagi membolehkan industri ini berdiri buat permulaannya.
Pengeluaran juga haruslah bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi hendaklah juga ditujukan kepada pasaran dunia. Dari segi ini, tindakan pemasaran yang agresif hendaklah dijalankan dan usaha-usaha dibuat dalam penyelidikan dan pembangunan demi mengurangkan kos pengeluaran agar barangan menjadi lebih kompetitif.
Kajian juga hendaklah dibuat bagi mengenalpasti projek-projek yang sesuai dan paling bermunafaat kepada Malaysia dan menentukan pilihan teknologi yang akan digunakan.
 
Penutup
Oleh kerana bentuk perindustrian berat yang rumit itu tidak menggalakkan penglibatkan sektor swasta dalam negeri, maka Kerajaan nampaknya terpaksa mengambil daya utama untuk menjalankan industri ini dan membiarkan pelabur swasta menjalankan industri sampingan bagi komplimen industri berat itu. Ini dengan sendirinya akan mempertingkatkan proses perindustrian dan memperluaskan asas perindustrian yang diperlukan bagi industri berat. Buat beberapa ketika pergantungan kepada teknologi asing tidak dapat dielakkan, tetapi dengan penyusunan cara pemindahan teknologi yang teratur, ianya akan dapat dikurangkan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Malaysia boleh mengwujudkan teknologinya sendiri. Selain dari itu, langkah yang patut diambil ialah dengan memberikan intensif yang sesuai kepada industri dalam negeri bagi membolehkan ia merangka 'capital saving equipment' melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan mereka. Berdasarkan pencapaian yang telah diperolehi dalam dasar perindustrian negara selama ini, dasar industri berat ini juga akan mencapai kejayaan yang sama jika pendekatan yang sesuai dibuat.

Thursday, September 16, 2010

Makanan

Makanan

Malaysia mempunyai pelbagai jenis gaya masakan unik hasil percampuran budaya penduduk pelbagai kaum yang telah berkongsi dan mencuba perisa, ramuan dan cara memasak di antara satu sama lain.

Penduduk Malaysia amat menggemari dan menghargai jenis-jenis makanan mereka yang berbagai-bagai jenis dan rasa. Tidak hairanlah sekiranya seseorang itu sanggup memandu berjam-jam lamanya ke tempat yang jauh semata-mata untuk menikmati semangkuk mee yang enak. Setiap negeri di Malaysia mempunyai sajian makanan yang unik untuk dinikmati.

Ibukota Kuala Lumpur menawarkan pilihan aneka hidangan yang paling banyak di seluruh dunia. Nikmati sajian makanan ciptaan tukang masak yang mahir di restoran mewah atau mencuba pelbagai jenis hidangan yang terdapat di pusat beli-belah, kedai dan gerai jalanan.

Negeri Melaka menawarkan sajian Baba Nyonya di kafe menarik yang lazimnya terletak di bangunan kedai lama yang bersejarah. Pulau Pinang pula masyhur dengan nasi kandarnya dan anda hanya perlu menunggu meja kosong untuk menikmati makanan yang enak pada harga serendah RM3.50.

Bandar Ipoh sering dikunjungi pelawat balik-hari yang ke sana semata-mata untuk menikmati sajian tempatan yang lazat. Kelantan yang merupakan pusat kebudayaan Melayu turut menyajikan hidangan Melayu eksotik yang beraneka perisa dan warna. Dalam memilih gerai atau restoran, tip yang perlu diingati ialah pilihlah gerai atau restoran yang kerap dikunjungi penduduk tempatan kerana sudah pasti makanan di situ sungguh enak dan lazat.

Pilihan makanan beraneka jenis yang terdapat di sini telah dikenali di seluruh dunia sebagai Makanan Malaysia.


Tips
Kebanyakan makanan di sini adalah pedas. Jika anda khuatir tentang kepedasan makanan, pastikan anda meminta pelayan atau tukang masak supaya mengurangkan kepedasan makanan anda.

Perayaan Ringkas

Selamat datang ke Malaysia, negara beraneka budaya, bahasa, agama dan makanan yang memikat hati. Penyatuan budaya dan sosial yang berkurun lamanya di antara bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban dan lain-lain telah melahirkan masyarakat Malaysia berbilang kaum yang hidup dalam harmoni. Sambutan bersama pelbagai perayaan, sambutan tradisi dan aktiviti kebudayaan di sepanjang tahun memastikan pelancong tidak mungkin bosan di sini. Terkenal dengan keramahan mereka, rakyat Malaysia tidak sabar berkongsi acara dan perayaan mereka bersama kenalan mahu pun pelancong asing. Bagi sambutan perayaan yang meriah, inilah masanya dan Malaysialah tempatnya.
Tarikh Perayaan Keterangan
30 Jan - 30 Jan, 2010
Thaipusam
Perayaan ini disambut sebagai tanda kesyukuran oleh penganut agama Hindu, serta sebagai tanda penghormatan kepada tuhan Muruga atau Subramaniam. Perayaan ini paling meriah disambut di Kuala Lumpur, di mana kenderaan berhias tuhan Muruga dibawa berarak menerusi jalan-jalan tertentu di bandaraya sebelum berakhir di Batu Caves, Selangor. Ribuan penganut berarak sambil memikul Kavadi, menarik perhatian ramai pengunjung. Thaipusam diraikan secara besar-besaran di Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Perak.

Lokasi: Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Perak
1 Feb - 1 Feb, 2010
Hari Wilayah
Hari Wilayah disambut di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan perarakan, pertunjukan bunga api, pameran serta persembahan kebudayaan. Kebanyakan acara dibuka kepada orang ramai tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Lokasi: Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya
14 Feb - 15 Feb, 2010
Tahun Baru Cina
Tahun Baru Cina menandakan hari pertama kalendar Bulan dan perayaan ini disambut selama 15 hari. Limau Mandarin dan putik pohon plum, yang melambangkan kemewahan serta nasib baik, menghias rumah penduduk berbangsa Cina, serta kompleks-kompleks membeli-belah. Tarian naga dan tarian singa berserta paluan gendang yang bersemangat menambahkan lagi suasana meriah perayaan ini. Pada malam sebelum Tahun Baru, ahli keluarga berkumpul menikmati jamuan makan malam, diikuti dengan rumah terbuka meraikan sanak saudara dan sahabat handai pada keesokkan harinya.

Lokasi: Seluruh Malaysia
2 Apr - 2 Apr, 2010
Good Friday
Good Friday ialah hari Jumaat sebelum sambutan perayaan Easter (perayaan Easter lazimnya jatuh pada hari Ahad) yang disambut di Sabah dan Sarawak.

Lokasi: Sabah dan Sarawak
28 Mei - 28 Mei, 2010
Hari Wesak
Pada hari Wesak, penganut Buddha memperingati kelahiran, kesedaran dan kematian Buddha. Para penganut mempersembahkan pemberian mereka dan menjalankan upacara seperti ‘mandian patung Buddha’, pembacaan mentera dan membakar colok. Upacara perlantikan sami biasanya dilangsungkan di kuil-kuil Buddha. Pada sebelah malam diadakan perarakan di kotaraya seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Seremban, Melaka dan Georgetown.

Lokasi: Seluruh Malaysia
30 Mei - 31 Mei, 2010
Tadau Kaamatan
Pesta ini disambut setiap tahun oleh komuniti etnik terbesar di Sabah, iaitu kaum Kadazan Dusun. Perayaan kesyukuran ini diadakan sebagai tanda penghormatan kepada semangat padi yang digelar Bambaazon, atas hasil tuaian padi yang lumayan. Kemuncak perayaan ini termasuk jamuan minuman tuak, makanan serta tarian tradisional, pertandingan Ratu Cantik, perlumbaan kerbau dan sebagainya!

Lokasi : Sabah
1 Jun - 2 Jun, 2010
Gawai Dayak
Gawai Dayak disambut oleh kaum Iban, Orang Ulu serta Bidayuh di Sarawak pada awal bulan Jun bagi menandakan penghujung musim menuai. Perayaan yang mempesonakan ini memaparkan pelbagai upacara tradisional serta tarian yang diadakan di rumah-rumah panjang di seluruh Sarawak. Sanak-saudara serta para pengunjung dijamu minuman tuak serta hidangan ayam yang dimasak di dalam buluh, dan pelbagai masakan tradisional yang lain di rumah-rumah terbuka di sini.

Lokasi : Sarawak
6 Jun - 6 Jun, 2010
Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong
Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, Malaysia menyambut hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong pada setiap hari Sabtu minggu pertama bulan Jun. Hari ini disambut dengan acara penganugerahan darjah kebesaran kepada warganegara Malaysia yang telah banyak berjasa kepada negara. Kemuncak sambutan termasuk ‘Perarakan Panji-Panji’ oleh anggota tentera, serta pelbagai bentuk pameran dan pertunjukan.

Lokasi: Kuala Lumpur
31 Ogos - 31 Ogos, 2010
Hari Kemerdekaan
Malaysia menyambut Hari Kemerdekaannya pada 31 Ogos setiap tahun. Warganegara Malaysia menyambut perayaan ini dengan mengibarkan bendera Malaysia di seluruh negara. Pelbagai aktiviti diadakan di setiap negeri termasuk perarakan dan pertunjukan bunga api. Acara kemuncak ialah perarakan besar-besaran di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh Raja dan Permaisuri Agong, Perdana Menteri, orang-orang kenamaan serta para pengunjung.

Lokasi: Seluruh Malaysia
10 Sep - 11 Sep, 2010
Hari Raya Aidil Fitri
Hari Raya Aidil Fitri menandakan tamatnya bulan puasa (Ramadhan) dan disambut oleh penganut Islam di seluruh dunia. Penduduk Islam di Malaysia memulakan hari ini dengan menziarahi kubur diikuti sembahyang sunat hari Raya dan saling bermaafan antara satu sama lain. Sanak-saudara serta sahabat handai dijemput ke rumah terbuka di mana mereka disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional yang lazat.

Lokasi: Seluruh Malaysia
5 Nov - 5 Nov, 2010
Deepavali
Kejayaan kuasa baik mengalahkan kuasa jahat diraikan oleh penganut Hindu dalam perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Perayaan Cahaya pada setiap bulan ke-7 mengikut kalendar Hindu. Di seluruh negara, upacara sembahyang serta ‘pembersihan’ dijalankan di kuil-kuil serta tempat-tempat pemujaan penganut Hindu.

Lokasi: Seluruh Malaysia
17 Nov - 17 Nov, 2010
Hari Raya Aidil Adha
Hari Raya Aidil Adha juga merupakan perayaan yang disambut oleh penganut Islam pada hari ke-10 bulan Zulhijjah. Ianya juga menandakan para jemaah haji telah selesai menunaikan fardhu haji di Mekah, Arab Saudi.

Lokasi: Seluruh Malaysia
25 Dis - 25 Dis, 2010
Krismas
Perayaan Krismas lebih meriah di kawasan tropika Malaysia dengan penduduknya yang ramah. Pengunjung dapat memilih pelbagai restoran, bistro, pusat membeli-belah dan hotel yang turut menawarkan pelbagai promosi sempena perayaan ini. Raikan sambutan Krismas anda di Malaysia!
Lokasi: Seluruh Malaysia

Aktiviti

Destinations

Menyelam Skuba

Malaysia pesat berkembang menjadi salah satu destinasi penyelaman skuba terkemuka di dunia dan mempunyai salah satu habitat laut terkaya di lengkungan Indo-Pasifik. Gandingan biodiversiti hidupan laut yang menakjubkan serta pulau-pulau yang menarik yang dilengkapi dengan pantai yang putih bersih dan air laut yang hangat telah memikat para penyelam untuk kembali berulang-kali.


Tapak-tapak selaman skuba yang popular di sekitar Malaysia menyediakankan pelbagai bentuk dasar laut termasuk terumbu karang, terumbu dinding, rumpunan batu karang serta tapak bagi selaman laut dalam dan selaman kapal karam. Selaman ke dalam laut hangat yang nyaman menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan kepadatan hidupan marin eksotik beraneka warna yang sukar ditandingi di serata dunia.


Dari sekumpulan jerung Hammerhead hingga ke kumpulan besar ikan alu-alu dan pelbagai spesis penyu serta keganjilan ikan Frogfish dan Ghost Pipefish, pasti ada sesuatu yang menarik menanti anda. Tidak keterlaluan jika dikatakan setiap kali tinjauan biodiversiti dijalankan di kawasan laut tropika Malaysia, jumlah spesis hidupan laut semakin bertambah!


Terdapat banyak pusat penyelaman skuba di Malaysia dan kesemuanya mempunyai kelengkapan yang sempurna serta diperakui agensi penyelaman skuba antarabangsa seperti PADI, SSI dan SSAC kerana mengekalkan standard keselamatan dan profesionalisme. Sememangnya kesemua kursus penyelaman skuba di Malaysia juga diiktiraf oleh agensi-agensi tersebut.


Sebaik sahaja anda lulus kursus menyelam skuba, pakailah kelengkapan selaman terkini yang boleh didapati di mana-mana pusat penyelaman skuba di sini. Hampir kesemua pulau di sini menawarkan jenis-jenis tapak selaman skuba yang bersesuaian bagi para penyelam yang mempunyai pelbagai tahap pengalaman – dari selaman skuba di laut yang cetek dan mudah hingga ke selaman kapal karam yang lebih rumit.


Memandangkan lokasinya di tengah-tengah lengkungan Indo-Pasifik iaitu kawasan paling kaya dengan biodiversiti laut di dunia, Malaysia juga menawarkan pantai yang putih bersih serta pusat penyelaman profesional untuk keselamatan dan keseronokan para penyelam, sama ada yang mahir mahupun yang masih baru.




Tips
Jika anda mahu mengikuti aktiviti menyelam skuba, cubalah menempah pakej dengan agensi pelancongan yang dapat menyediakan khidmat penyelaman skuba, makanan dan tempat penginapan. Ini adalah cara terbaik untuk menikmati penyelaman skuba yang menyeronokkan dan dapat menjimatkan wang. Selain itu, kawasan laut juga akan bergelora dan air menjadi keruh sewaktu musim tengkujuh di pantai timur (November – Mac), jadi cubalah aktiviti menyelam skuba di luar kawasan ini.
Terokai Keajaiban Dasar Laut Malaysia.
click to view Pantai Bisikan Bayu
Angin dari Laut China Selatan bertiup lembut ke pantai yang terpanjang di Kelantan ini.
click to view Pulau Sipadan
Syurga bawah laut ini sememangnya berhak digelar salah sebuah destinasi menyelam skuba terunggul di dunia.
click to view Pulau Mabul
Chalet mewah bertiang kayu dan terumbu karang yang cetek menawarkan pengalaman menyelam skuba bertaraf antarabangsa meletakkan Pulau Mabul di dalam kelas yang tersendiri.
click to view Kapal Karam Labuan
Tapak-tapak selaman kapal karam di sini menawarkan pengalaman menyelam yang menarik samada bagi penyelam baru mahu pun yang berpengalaman.
click to view Pulau Langkawi
Gugusan 99 buah pulau, Langkawi menawarkan pantai indah, kemudahan taraf antarabangsa, barangan bebas-cukai, serta legenda yang memukau.
click to view Pulau Lang Tengah
Pulau Lang Tengah yang kecil dan indah terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang.
click to view Pulau Redang
Terlindung di dalam kawasan Taman Laut Pulau Redang dan terumbu karang di sini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut.
click to view Pulau Aur
Terletak di Taman Laut Johor, kedalaman air di sekitar Pulau Aur menjanjikan tahap penglihatan tinggi serta pelbagai jenis hidupan laut.
click to view Taman Laut Tunku Abdul Rahman
Taman laut yang mengandungi lima buah pulau ini menawarkan pelbagai kemudahan, pantai yang putih bersih dan aktiviti snorkel dan boleh dikunjungi dengan menaiki bot selama 20 minit dari Kota Kinabalu.
click to view Pulau Tenggol
Pulau kecil ini dipenuhi tebing batu yang menjunam ke laut, menggoda penyelam skuba untuk kembali ke sini.
click to view Pulau Tioman
Pulau Tioman yang berbentuk mirip seekor penyu adalah pulau terbesar dan yang paling menarik di antara pulau-pulau di perairan pantai Timur.
click to view Pulau Layang Layang
Topografi terumbu karang unik berhampiran pulau ini di tengah Laut China Selatan menjadikannya destinasi impian penyelam skuba.
click to view Pulau Lankayan
Pulau kecil yang diliputi hutan ini telah meraih reputasi sebagai sebuah destinasi menyelam yang terunggul di Asia.
click to view Taman Laut Pulau Tiga
Taman laut yang mengandungi tiga buah pulau indah serta perairan sejernih kristal memikat penyelam skuba dari seluruh dunia.
click to view Taman Laut Pulau Payar
Taman laut indah yang memaparkan keajaiban laut diganding dengan kemudahan sempurna membolehkan pelancong mendekati alam semulajadi.
click to view Pulau Rawa
Amat mudah ke Pulau Rawa yang terkenal dengan pasir putih dan terumbu karang yang penuh dengan ikan berwarna-warni.
click to view Pulau Kapas
Jika anda inginkan destinasi percutian pulau yang sempurna, anda mesti berkunjung ke Pulau Kapas di Terengganu.
click to view Pulau Perhentian
Pulau yang popular di kalangan pelancong dan penduduk tempatan dikelilingi perairan laut yang jernih dan kaya dengan hidupan laut.