Thursday, September 16, 2010

Makanan

Makanan

Malaysia mempunyai pelbagai jenis gaya masakan unik hasil percampuran budaya penduduk pelbagai kaum yang telah berkongsi dan mencuba perisa, ramuan dan cara memasak di antara satu sama lain.

Penduduk Malaysia amat menggemari dan menghargai jenis-jenis makanan mereka yang berbagai-bagai jenis dan rasa. Tidak hairanlah sekiranya seseorang itu sanggup memandu berjam-jam lamanya ke tempat yang jauh semata-mata untuk menikmati semangkuk mee yang enak. Setiap negeri di Malaysia mempunyai sajian makanan yang unik untuk dinikmati.

Ibukota Kuala Lumpur menawarkan pilihan aneka hidangan yang paling banyak di seluruh dunia. Nikmati sajian makanan ciptaan tukang masak yang mahir di restoran mewah atau mencuba pelbagai jenis hidangan yang terdapat di pusat beli-belah, kedai dan gerai jalanan.

Negeri Melaka menawarkan sajian Baba Nyonya di kafe menarik yang lazimnya terletak di bangunan kedai lama yang bersejarah. Pulau Pinang pula masyhur dengan nasi kandarnya dan anda hanya perlu menunggu meja kosong untuk menikmati makanan yang enak pada harga serendah RM3.50.

Bandar Ipoh sering dikunjungi pelawat balik-hari yang ke sana semata-mata untuk menikmati sajian tempatan yang lazat. Kelantan yang merupakan pusat kebudayaan Melayu turut menyajikan hidangan Melayu eksotik yang beraneka perisa dan warna. Dalam memilih gerai atau restoran, tip yang perlu diingati ialah pilihlah gerai atau restoran yang kerap dikunjungi penduduk tempatan kerana sudah pasti makanan di situ sungguh enak dan lazat.

Pilihan makanan beraneka jenis yang terdapat di sini telah dikenali di seluruh dunia sebagai Makanan Malaysia.


Tips
Kebanyakan makanan di sini adalah pedas. Jika anda khuatir tentang kepedasan makanan, pastikan anda meminta pelayan atau tukang masak supaya mengurangkan kepedasan makanan anda.

No comments:

Post a Comment