Thursday, September 16, 2010

Pelancongan di Negeri Perak

Kellie's Castle

 
Pada asalnya mahligai ini dibina sebagai rumah kediaman untuk William Kellie Smith seorang peladang dari Scotland pada kurun ke-20.
Memandangkan beliau berada jauh dari tanah airnya, beliau menginginkan sebuah rumah yang boleh mengingatkannya kepada tanah airnya. Mahligai ini terletak di atas sebuah bukit yang dahulunya merupakan kawasan ladang getah.
William Kellie Smith adalah seorang lelaki yang menarik dan sangat popular di kalangan pekerjanya dari India Selatan. Beliau seorang yang baik hati kerana mendirikan sebuah kuil Hindu untuk pekerjanya di perkarangan kawasan mahligai tersebut.
Para pekerjanya telah mendirikan sebuah arca yang menyerupai Kellie yang lengkap berbaju sut dan topi sebagai tanda terima kasih mereka.
Pembinaan mahligai yang unik ini bermula pada tahun 1915. Walau bagaimana pun, kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan apabila Kellie mati secara tiba-tiba pada tahun 1926. Kini, mahligai yang tidak siap ini kelihatan aneh dikelilingi ladang yang sunyi dan mempunyai aura misteri.
Baru-baru ini beberapa usaha telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menyelamatkan mahligai yang indah ini dari tumbuhan liar yang semakin banyak menyelubunginya. Mahligai ini dipercayai berhantu dan mempunyai bilik rahsia serta terowong bawah tanah yang tersembunyi.
Jalan menuju ke mahligai berbelok-belok dan agak membingungkan lantas meningkatkan lagi suasana misteri tempat ini.
Tips
Oleh kerana mahligai ini terletak di sebuah kawasan yang sunyi, rancang lawatan supaya anda dapat kembali sebelum matahari terbenam.

Taman Perlindungan Burung Kuala Gula
Hutan Paya Bakau Matang merupakan eko-sistem hutan paya bakau yang paling besar di Semenanjung Malaysia. Hutan ini meliputi kawasan sepanjang 50 km bahagian pantai barat di utara negeri Perak dan 40 km lagi di sepanjang pinggiran sistem sungai-sungai di dalam lima kawasan muara yang terlindung.
Sewaktu musim penghijrahan burung antara bulan Ogos dan April setiap tahun, terdapat lebih dari 200,000 ekor burung dari kira-kira 50 spesis dijangka singgah di sini.
Pusat maklumat pelawat yang lengkap disediakan di sini bagi membolehkan pelawat memahami kepentingan memelihara dan menjaga ekosistem hutan paya bakau dan burung-burung yang tinggal atau pun yang singgah di sini menerusi program pembelajaran dan bahan pameran yang disediakan.
Taman Perlindungan Burung Kuala Gula pernah memenangi anugerah 'Tarikan Pelancong Terbaik (Tarikan Semulajadi) sewaktu majlis Anugerah Pelancongan Malaysia - sebuah majlis gemilang yang menyampaikan anugerah-anugerah kepada agensi dan pertubuhan yang menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Malaysia.
Tips
Masa terbaik untuk memerhati burung di sini ialah dari bulan September hingga Mac.

No comments:

Post a Comment